Pages

Wednesday, April 20, 2011

ETIKA NIAT
Salah satu harapan besar bagi seorang Muslim adalah agar amalannya diterima oleh Allah SWT. Menjadi satu kerugian apabila Allah SWT tidak berkenan dan menerima akan amalannya, sehingga pelakunya tidak boleh menikmati syurga. Sebuah ungkapan ada menyatakan, "Setiap hamba diberi kekuatan untuk beribadah, tapi tidak semua ibadah itu diberi 'kekuatan' untuk diterima oleh Allah SWT" Salah satu kunci diterimanya segala amalan itu adalah dengan niat yang benar dan ikhlas.
Penentu nilai dan kualiti ibadah
Memahami bahawa niat adalah penentu nilai dan kualiti ibadah di sisi Allah SWT. Ia pembeza antara ibadah dan kebiasaan (tradisi), bahkan merupakan pembeza antara satu ibadah dengan ibadah lainnya. Imam Ibnu Rajab al-Hambali menjelaskan, "Salah satu makna niat adalah 'tamyiz', pembeza antara satu ibadah dengan ibadah lainnya." (Jami'al-Ulum wa al-Hikam)
Hanya untuk mendapatkan reda Allah SWT
Sentiasa berniat hanya untuk mendapatkan reda Allah SWT dan tidak mempersembahkannya untuk selain-Nya. Dalam kitab Al Waabil al Shayyibu min al-kalam at Tayyibi, Imam lbnul Qayyim ada menyatakan, "Amalan seorang hamba akan dipaparkan di hadapan Allah SWT sehingga Dia mendapati niat hamba tersebut hanya untuk-Nya. Jika demikian, Dia meredai amalannya dan menerimanya."
Keinginan Kuat untuk Melaksanakan
Niat yang baik akan mendapatkan satu pahala. Namun, sekadar berniat sahaja tidaklah cukup, tetapi ia perlu disertai dengan keinginan yang kuat untuk mewujudkan niat tersebut. Rasulullah s.a.w pernah bersabda, "Barang siapa yang berniat melakukan sebuah kebaikan namun tidak merealisasikannya, maka baginya satu pahala, dan jika diwujudkan maka dia akan mendapatkan sepuluh hingga tujuh ratus kali lipat pahala, bahkan gandaan yang tidak terhingga." (Muttafaq 'alaih)
Tidak Meremehkan Niat yang Buruk
Niat yang buruk akan mendatangkan dosa kepada pemiliknya. Rasulullah s.a.w bersabda, "...membunuh dan yang dibunuh akan masuk neraka." Para sahabat bertanya, "Kami fahami untuk yang membunuh,
lalu mengapa pula yang dibunuh juga masuk neraka?" Nabi s.a.w menjawab, "Kerana dia sangat ingin (berniat) membunuh saudaranya itu." (Muttafaq a'alaih)
Ikhlas dan Berterusan
Sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar diberi kekuatan untuk mendapat ikhlas dalam niatnya dan berterusan menjaga keikhlasan itu. Dalam Sahih Tirmidzi diriwayatkan, "Doa yang paling kerap dipanjatkan oleh Nabi Muhammad s.a.w adalah: 'Wahai Zat yang membolak-balikkan hati, teguhkan hati kami dalam agamamu." Ini kerana, hati setiap manusia itu berada di hujung 'jari' Allah SWT yang mudah diputar balik oleh Nya (Mushannaf ibnu Abi Syaibah).
Beristighfar apabila Riak
Segera beristighfar sekiranya niat anda itu punyai unsur riak atau bukan kerana Allah SWT. Hal ini perlu dihindari kerana ia akan melahirkan amalan-amalan yang sia-sia belaka, Umar bin Khathab meriwayatkan dari Nabi s.a.w, ".... Barang siapa yang berhijrah kerana tujuan dunia atau untuk mendapatkan wanita idamannya, maka nilai penghijrahannya itu bergantung dari niatnya." (Muttafaq'alaih).
Dalam kitab Fathul Qawiy al-Matin diisyaratkan bahawa Allah SWT sangat merendahkan amalan yang diniatkan bukan untuk-Nya.
Memberi Contoh
Apabila perbuatannya itu perlu dilakukan di hadapan orang lain, maka berniatlah, ia hanya bertujuan untuk memberi contoh kebaikan agar diikuti oleh orang lain. Rasulullah s.a.w. bersabda, "Barang siapa yang memberi contoh kebaikan, lalu diikuti oleh orang lain, maka baginya pahala dan tambahan sebesar pahala orang yang mengikutinya tanpa mengurangkan pahala orang yang menglkutinya."
Wallahu a'lam.

Ihsan : Gwiyeoun Oli
           Group Tadarus Al-Qur'an - Harian FB

No comments:

Post a Comment